Hak-hak yang berkaitan dengan peninggalan
Perihal Hutang
Antara hal yang perlu diketahui oleh setiap Muslim ialah agama Islam menyuruh umatnya supaya berlaku sederhana dalam semua tindak - tanduk kehidupan seharian mereka.
Dengan kesederhanaan ini kita akan sentiasa merasa cukup dan berpada dengan yang ada. Suasana ini akan dapat menghindarkan diri kita daripada berhutang. Rasulullah s.a.w tidak suka umatnya membiasakan berhutang. Dalam pandangan Islam hutang adalah merupakan kesusahan di malam hari dan suatu penghinaan di siang hari. Justeru itu Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam selalu berdoa kepada Allah s.w.t supaya terhindar dari berhutang.
Doa baginda yang bermaksud : ”Ya Tuhanku, aku berlindung diri kepadamu dari bebanan hutang dan dari dikuasai orang lain”.
Agama Islam menitikberatkan masalah hutang dan nilai melunaskan pembayarannya. Walaubagaimanapun, Islam masih memberikan ruang dan kelonggaran untuk berhutang khususnya dalam keadaan darurat dan sangat-sangat memerlukannya, iaitu dalam masalah kebaikan tetapi perlu diingat bahawa walaupun Islam memberi kelonggaran itu, setiap hutang itu wajiblah dijelaskan dan dibayar.
Kewajipan membayar hutang itu tidak akan terlepas sekalipun dengan melaksanakan ibadat-ibadat yang besar pahalanya. Oleh sebab itu Islam mengenakan syarat-syarat tertentu terhadap hutang - piutang sehingga orang yang berhutang tidak boleh lari daripada membayarnya.
Hutang perlu dijelaskan dengan segera. Janganlah dilalaikan pembayarannya dan menyebabkan tertangguh begitu lama sekali dan langsung tidak dijelaskan sehingga menyusahkan orang yang memberi hutang.
Akibat menanggung hutang itu, selain daripada dipertanggungjawabkan membayarnya, bahkan ada bahaya yang lebih besar yang akan menimpa kepada diri si penghutang jika tidak melunaskannya.
Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam At-Tarmizi dan Imam Ahmad dan Imam Ibni Hibban yang bermaksud :
”Roh seseorang mukmin itu tergantung yakni dihalang daripada tempat yang mulia dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dijelaskan”.
Dan dalam hadith yang lain daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah yang maksudnya : “Sesiapa mati, sedangkan dia masih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambil ganti daripada kebaikannya, kerana di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham”.
Berdasarkan hakikat ini, Islam menasihatkan setiap Muslim agar menghindarkan diri daripada berhutang kecuali kerana sangat memerlukan. Kalau pun terpaksa berhutang, maka dia hendaklah berniat dan berazam untuk membayar hutang berkenaan.
Rasulullah s.a.w ada menjelaskan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksudnya : “Sesiapa mengambil harta orang lain (berhutang) dan berniat akan membayarnya, maka Allah akan luluskan niatnya itu. Tetapi sesiapa mengambil dengan niat akan membinasakannya dengan tidak membayarnya maka Allah akan membinasakan dia”.
Oleh itu hindarkanlah diri kita tergolong dari orang-orang yang berhutang dan melengah-lengahkan pembayaran hutang. Semoga dengan adanya kesedaran dan kejujuran kita dalam hal ini akan mendapat keredhaan Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Mukminun, ayat 8 :-
Tafsirnya : “ Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah yang dipikul dan janjinya” .
Hak-hak yang berkaitan dengan peninggalan
Menyelesaikan hutang adalah antara perkara yang berkaitan dengan pengurusan harta pusaka si mati, selain daripada :
a] Biaya pengurusan jenazahnya. Pengurusan jenazah itu maksudnya mengerjakan segala yang diperlukannya mulai saat kematiannya sampai penguburannya. Bahkan apa-apa yang diperlukannya sampai dia dimasukkan ke liang lahad. Biaya yang diperlukan untuk pengurusan jenazah tidak sama kerana ada yang kaya dan yang miskin, ada lelaki dan ada wanita.
b] Menunaikan wasiatnya. Bererti hartanya diambil untuk menunaikan wasiatnya.
c] Dan akhir sekali, membahagi harta yang tinggal. Setelah dikeluarkan setelah pengurusan jenazah, membayar hutang dan menunaikan wasiatnya, baki dari harta si mati dibahagikan kepada ahli waris yang berhak dengan ketentuan al-Quran, sunnah dan ijmak ulama. Dalam pembahasan selanjutnya akan diterangkan bahagian masing-masing.
Membayar hutang simati bermaksud : hutang kepada sesama hamba dan hutang kepada Allah. Hutang sesama manusia, ertinya ada pihak yang akan menuntut. Harta yang masih diperlukan si mati (termasuk hutang), tidak dibagi-bagi kepada ahli waris. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Diri seseorang mukmin itu masih bergantung kepada hutangnya sampai hutang itu dibayar”.
Hutang kepada Allah s.w.t, mesti dibayar dengan harta peninggalan si mati. Hutang kepada Allah yang mungkin belum dibayar misalnya zakat, kaffarah dan nazar. Menurut jumhur ulama, wajib dibayar dengan harta peninggalannya sebelum ia dibahagi-bahagi kepada ahli waris.
Pendapat Jumhur Ulama :
Hutang seperti ini wajib dibayar seperti hutang kepada sesama manusia. Membayarnya tidak memerlukan niat kerana bukan ibadat semata, tetapi hak-hak yang berkaitan dengan harta. Biaya untuk membayarnya diambil dari peninggalan si mati.
Bahkan menurut mazhab Syafie didahulukan membayar hutang ini daripada hutang sesama manusia. Menurut mazhab Maliki didahulukan membayar hutang kepada manusia.
Dalil al-Quran :
Surah an-Nisa’ ayat 11-12 yang bermaksud :
“pembahagian-pembahagian tersebut sesudah dipenuhi wasiat yang ia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya”.
“sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya”.
“sudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu”.
“sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris).
Dalil Hadis :
Hadis Abu Hurairah r.a : “Sesungguhnya pernah ada jenazah seorang lelaki yang mempunyai hutang dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w, maka baginda bertanya: Apakah dia ada meninggalkan sesuatu untuk membayar hutangnya? Sekiranya baginda diberitahu bahawa orang tersebut ada meninggalkan sesuatu untuk membayar hutangnya, maka baginda akan mendirikan sembahyang ke atas jenazahnya sekiranya dia tidak meninggalkan sesuatu baginda bersabda: Sembahyangkanlah ke atas temanmu itu. Setelah Allah memberikan kemudahan kepada baginda dalam menaklukkan negeri, baginda bersabda: Aku lebih berhak terhadap orang-orang mukmin dari pada diri mereka sendiri. Oleh itu sesiapa yang mati meninggalkan hutang maka akulah yang akan membayarnya dan sesiapa yang mati meninggalkan harta, maka harta itu untuk ahli warisnya”.
Hadis Abu Hurairah r.a katanya : “ Ada seorang lelaki yang mempunyai hak pada Rasulullah s.a.w bercakap kasar dengan baginda, sehingga para sahabat Nabi s.a.w merasa susah hati. Maka Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya pemilik hak itu boleh berkata apa saja. Baginda bersabda: Belikanlah seekor unta lalu berikanlah kepadanya. Lalu mereka berkata: Kami tidak mendapatkan apa-apa kecuali unta yang lebih baik dari pada untanya. Baginda bersabda lagi: Belilah dan berikanlah kepadanya kerana sesungguhnya orang yang paling baik di antara kamu atau orang yang terbaik di antara kamu adalah orang yang paling baik ketika membayar hutang
Hadis Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w :“Nabi s.a.w sering berdoa ketika sembahyangnya dengan berkata :Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada seksa kubur dan aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada fitnah Dajal. Aku juga memohon perlindungan kepada-Mu daripada fitnah semasa hidup dan selepas mati. Ya Allah! Aku memohon perlindungan kepada-Mu dari segala dosa dan hutang. Aisyah berkata lagi: Seseorang telah berkata kepada Rasulullah s.a.w: Alangkah banyaknya kamu memohon perlindungan dari beban hutang wahai Rasulullah! Lalu Rasulullah bersabda: Sesungguhnya seseorang yang sudah terkena beban hutang, apabila dia berkata-kata dia akan berdusta dan apabila berjanji dia akan mengingkari”
Menurut zahir surah an-Nisa’ ayat ke 11 itu seolah-olah wasiat didahulukan daripada hutang. Namun sebaliknya, hutang didahulukan daripada wasiat. Pertama sekali hendaklah dibayar semua hutang si mati, kemudian ditunaikan wasiatnya. Inilah yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.
Ali bin Abi Talib berkata : “Mungkin kamu memahami ayat itu dengan mendahulukan wasiat daripada hutang, tetapi Rasulullah mendahulukan hutang daripada wasiat”.
Adapun hikmah mendahulukan sebutan wasiat dalam ayat, kerana hutang tetap menjadi hak orang yang berpiutang sebelum dan sesudah wafatnya orang yang berhutang. Apabila orang yang berhutang meninggal dunia, orang yang punya piutang mungkin menuntut kepada ahli warisnya. Maknanya hutang akan dibayar juga.
Berlainan dengan wasiat si mati yang mungkin tidak ada pihak lain yang menuntut, maka didahulukan sebutannya dalam ayat supaya diingat dan menjadi perhatian.
Berdasarkan nas-nas tersebut, Allah s.w.t mengatur dan manusia menentukan bahagian setiap ahli waris. Walaupun manusia ingin membuat pembahagian yang adil, mereka tidak sanggup melakukannya. Manusia tidak sanggup membuat pembahagian yang adil seperti yang ditetapkan Allah kerana mereka tidak tahu mana yang lebih mendatangkan manfaat di antara ahli-ahli waris.
Artikel ini dipetik dari : http://www.arb.com.my/Article/ped/ikimFM5.htm
|
|
HARTA PUSAKA - CARA PEMBAHAGIAN DALAM ISLAM
PENGURUSAN pewarisan dalam Islam sangat penting, terutama dalam zaman moden ini kita berhadapan dengan pelbagai cabaran baru.
Di antara cabarannya ialah kecenderungan masyarakat kita yang mementingkan kebendaan sehingga boleh mencetuskan pertikaian, perbalahan, pergaduhan serta permusuhan antara suami isteri, ibu bapa, anak beranak, saudara mara atau sebagainya.
Apabila kebendaan dijadikan kayu ukur utama, krisis keluarga lebih mudah berlaku dan rumah tangga mudah menjadi porak peranda.
Krisis keluarga akibat kepentingan kebendaan bertambah parah dengan tiadanya kefahaman masyarakat kita tentang ilmu pembahagian harta pusaka atau ilmu faraid. Ini kerana ilmu faraid merupakan ilmu yang mula-mula diangkat daripada umat manusia.
Sehubungan ini Rasulullah s.a.w. bersabda : Hendaklah kamu pelajari ilmu faraid, maka sesungguhnya ilmu faraid adalah suruhan daripada agama kamu, dan bahawa ilmu faraid adalah seperdua daripada ilmu dan yang mula-mula dicabut daripada umatku. (Riwayat Ahmad)
Maksud ilmu faraid itu dicabut daripada manusia ialah dengan kematian para ulama yang memahaminya.
Ilmu faraid
Ini sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w : Allah s.w.t. tidak mengambil ilmu Islam itu dengan cara mencabutnya daripada manusia. Sebaliknya Allah s.w.t. mengambilnya dengan mengambil para ulama sehingga tidak tertinggal walaupun seorang. Manusia melantik orang yang jahil menjadi pemimpin. Apabila mereka ditanya, mereka memberi fatwa tanpa berdasarkan kepada ilmu pengetahuan. Akhirnya mereka sesat dan menyesatkan orang lain pula (Muttafaq `alaih)
Sesungguhnya pada masa ini tidak ramai di kalangan ulama kita yang mahir dalam ilmu faraid jika dibandingkan dengan ilmu fikah lain seperti solat, puasa dan lain-lain, sedangkan hadis yang pertama di atas menerangkan tentang betapa pentingnya ilmu faraid sehinggakan di anggap sebagai seperdua daripada ilmu. Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda :
Hendaklah kamu pelajari ilmu faraid dan kamu ajarkan kepada manusia, maka sesungguhnya akulah orang yang di dalam genggaman Allah dan bahawa ilmu faraid itu kelak akan digenggam dan akan nyata beberapa fitnah sehingga berselisih dua orang mengenai faraid, maka kedua-duanya tidak memperoleh orang yang menghukumkan dan menyelesaikan perselisihan di antara kedua-duanya. (Ibnu Majah)
Hadis-hadis di atas nampaknya memperkatakan apa yang sedang berlaku pada masa ini kerana tidak ramai di kalangan ulama kita yang mahir dalam bidang faraid.
Malah tidak banyak surau atau masjid yang membicarakan tentang ilmu faraid, sebaliknya kuliah-kuliah yang diadakan di kebanyakan masjid berputar di sekitar rukun Islam yang lima.
Rata-rata seseorang yang ingin mengetahui tentang ilmu faraid terpaksa menunggu seminar atau bengkel yang jarang sekali diadakan. Ini kerana untuk memahami ilmu faraid, seseorang itu harus menggarap dengan baik ilmu usul dan ilmu hisab sekali gus.
Mungkin kurangnya kefahaman tentang ilmu faraid menyebabkan sebahagian umat Islam memberikan komen yang negatif terhadap ilmu faraid.
Orientalis
Sebaliknya mereka yang memahaminya dengan jelas, memberikan komen yang baik, walaupun mereka terdiri daripada orientalis yang sentiasa mencari jalan memperlecehkan Islam.
Sebagai contoh, seorang orientalis, Rumsey menyatakan: “Pembahagian harta pusaka dalam Islam tidak syak lagi merupakan sistem perundangan harta yang paling baik dan canggih yang pernah diketahui oleh dunia bertamadun.”
Sementara itu, seorang lagi orientalis, Professor N. J. Coulson yang pernah mengajar di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London menyatakan: “Undang-undang pembahagian harta pusaka dalam Islam merupakan suatu pencapaian teknikal yang mantap, dan sayugianyalah ilmuan Islam berasa bangga dengan ketepatan matematik dalam menentukan hak mana-mana waris, dalam keadaan bagaimana sekalipun, boleh ditentukan.”
Kepentingan ilmu faraid menda- pat tempat di dalam al-Quran. Al-Quran sendiri menerangkan dengan panjang lebar tentang pembahagian harta pusaka. Sedangkan ia bukan salah satu daripada rukun Islam yang lima.
Menurut seorang mufassirin terkenal, Imam Ibnu Kathir, terdapat tiga ayat utama di dalam al-Quran yang menerangkan tentang pembahagian harta pusaka, iaitu di dalam surah An-Nisa ayat 11, 12 dan 176. Dalam ayat 11 Allah berfirman : Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anakmu… Seterusnya dalam ayat 12 : Dan bagimu (suami-suami) seperdua daripada harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu…
Kedua-dua ayat tersebut menerangkan dengan panjang lebar tentang bahagian-bahagian yang diperuntukkan kepada ibu, bapa, serta isteri atau suami.
Pandangan
Ayat 12 juga menerangkan bahagian saudara kandung seibu, sama ada lelaki atau perempuan. Walaupun kedua-dua ayat tersebut agak jelas, namun kefahaman tentang ilmu faraid itu bergantung daripada satu lagi sumber syariah, iaitu sunah atau dikenali juga dengan hadis.
Berdasarkan kepada al-Quran, hadis serta pandangan dan pendapat sahabat, para ulama membuat beberapa rumusan bagi memudahkan orang awam seperti kita mengetahui tentang pembahagian harta pusaka menurut Islam.
Mereka menyatakan, waris-waris yang layak menerima harta pusaka adalah seperti berikut :
Dari pihak lelaki : Anak lelaki, cucu lelaki daripada anak lelaki, bapa, datuk sebelah bapa ke atas, saudara sekandung, saudara seayah, saudara seibu, anak lelaki daripada saudara sekandung, anak lelaki daripada saudra seayah, bapa saudara (sebelah ayah) yang sekandung dengan ayah si mati, bapa saudara (sebelah ayah) yang sebapa dengan ayah si mati, anak lelaki daripada bapa saudara sekandung (sebelah ayah), anak lelaki daripada bapa saudara sebapa (sebelah ayah), suami.