Keratan Akhbar

50 TAHUN BARU SELESAI KES TUNTUTAN TANAH PUSAKA

 

Utusan Malaysia – 18 Ogos 2005

 

Oleh Radhuan Hussain

 

TEMERLOH 17 Ogos - Mahkamah Tinggi di sini mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menyelesaikan kes pertelingkahan tuntutan tanah pusaka yang tertangguh sejak 1955.

Penghakiman persetujuan direkod di hadapan Hakim Datuk Mohamed Apandi Ali hari ini yang antara lain memerintahkan enam plaintif, sebahagiannya mempunyai pertalian persaudaraan, menarik balik tuntutan terhadap defendan.

Berdasarkan perjanjian pada 19 Julai 1955, enam plaintif mendakwa defendan Lawi Jamin telah menjual separuh daripada tanahnya (seluas kira-kira 2 ekar) kepada keenam-enam plaintif tersebut.

Mereka mendakwa telah membayar harga sebahagian tanah di Kampung Sungai Ara, Mentakab itu kepada defendan sebanyak RM1,775.

Bagaimanapun, defendan menafikan menjual tanah tersebut. Defendan mendakwa hanya memberi kebenaran kepada salah seorang plaintif untuk bercucuk tanam bagi tempoh 50 hari sahaja memandangkan ketika itu zaman darurat.

Masalah timbul apabila defendan mendakwa keenam-enam plaintif secara salah telah menafikan pihaknya daripada menggunakan tanah berkenaan semula.

Dalam keputusan mahkamah hari ini, dua daripada plaintif itu telah diperintahkan meroboh bangunan yang dibina di atas hartanah tersebut dalam tempoh 12 bulan dari tarikh perintah ini.

Kesemua plaintif juga hari ini bersetuju tidak lagi mempunyai hak ke atas tanah di Mukim Mentakab, Daerah Temerloh itu dalam tempoh 12 bulan dari tarikh penghakiman ini.

Sementara itu, defendan turut bersetuju menarik balik tuntutan bebas untuk ganti rugi dan kos terhadap kesemua plaintif. Setiap pihak dalam tindakan ini menanggung yuran guaman dan belanja masing-masing.

Enam plaintif itu ialah Kamarulzaman Johari (mewakili pentadbir harta pusaka bagi Allahyarham Johari Pagun), Kamarulzaman Johari (pentadbir harta pusaka Allahyarham Kalesom Samah), Abu Kassim Abdullah dan Ambut Maidin (pentadbir harta pusaka Allahyarham Rahmah Musa), Setiha Insha Mat Sha (pentadbir harta pesaka Allahyarham Kaminah Dollah) dan Ibni Hajar Sidin (pentadbir harta pusaka Allahyarham Sidin Said).

Pihak defendan pula ialah Kuruman Lawi (wakil peribadi harta pusaka Allahyarham Lawi Jamin).

Kuruman diwakili oleh peguam M. Ramachelvam bersama peguam Wan Bakhtiar Junaidy manakala plaintif diwakili peguam Morgan Mariappan.

Kes berkenaan pada mulanya difailkan di Mahkamah Tinggi Raub pada 1963 yang kemudian difailkan di Mahkamah Tinggi Kuantan pada 1985 dan telah dibicarakan di mahkamah yang sama pada 1997 sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Temerloh pada 2002.

Perbicaraan berlangsung di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 27 dan 28 Julai 2005 dan ditangguhkan sebelum kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya hari ini.

Dalam pada itu, Kuruman, 50, seorang penoreh getah dari Chenor, Maran ketika ditemui di luar mahkamah berkata, dia lega dengan keputusan menyelesaikan pertelingkahan tuntutan selama 50 tahun itu.

Kuruman yang turut ditemani isterinya, Rahimah Md. Nor, 43, bersyukur penantian selama itu telah berakhir setelah sekian lama terpaksa bersusah payah `naik turun’ mahkamah.

Kuruman, anak ketiga daripada lima beradik telah menemani bapanya, Lawi bagi urusan mahkamah dan sejak kematian bapanya pada 1998, Kuruman bertindak sebagai defendan selaku wakil peribadi harta pusaka bapanya, Lawi Jamin.

 

 

Utusan Malaysia – 30 sept 2005/ Jumaat

 

RM471j harta pusaka masih gagal diagih

 

KUANTAN 29 Sept. - Tanggapan sebahagian besar umat Islam bahawa pengurusan harta boleh diselesaikan melalui hukum faraid antara punca utama berlakunya kelewatan pembahagian harta pusaka.Pengerusi Amanah Raya Berhad (ARB), Datuk Dusuki Ahmad berkata, stigma itu jugalah menjadi punca pertelingkahan antara waris dan kes perebutan harta di mahkamah. Apabila urusan pembahagian itu lambat diselesaikan, ia bukan sahaja akan menimbulkan krisis dalam institusi kekeluargaan tetapi akan turut menyebabkan harta itu terutamanya hartanah menjadi statik dan tidak memberikan pulangan ekonomi yang sepatutnya,” katanya.

Menurut Dusuki pada masa ini, sejumlah RM471 juta harta pusaka masih gagal diagihkan kepada pewaris yang berhak menerimanya kerana pemilik harta berkenaan semasa hayatnya tidak mewariskan harta kekayaan mereka itu melalui wasiat atau amanah.`Harta berkenaan kini berada di bawah pengurusan ARB, membabitkan 20,987 kes tuntutan harta pusaka yang masih gagal diselesaikan meliputi RM141 juta aset wang tunai dan RM330 juta aset bukan tunai,” katanya. Dusuki menjelaskan perkara itu dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran ARB, Rafie Omar pada Seminar Pengurusan Harta dan Pusaka Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Wisma Belia Indera Mahkota, di sini hari ini. Seminar setengah hari yang dihadiri oleh lebih 300 peserta itu dianjurkan oleh ARB dengan kerjasama akhbar Utusan Malaysia dan Kerajaan Negeri Pahang.

Mengulas mengenai 20,987 kes tuntutan harta pusaka yang masih gagal diselesaikan lebih 10 tahun lalu, Dusuki berkata, ia berpunca kerana sebahagian umat Islam di negara ini beranggapan bahawa pembahagian harta pusaka mereka melalui Sistem Faraid dapat menyelesaikan semua masalah dalam apa jua keadaan selepas mereka meninggal dunia. `Sebenarnya Sistem Faraid hanya boleh menyelesaikan pembahagian harta pusaka apabila semua harta berada dalam keadaan nyata, tidak tersembunyi, tidak bertindih penama dan jelas pemilikannya atau dalam erti kata lain ia secara jelas termaktub dalam wasiat,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, kesedaran menulis surat wasiat di kalangan orang Melayu masih di tahap rendah berbanding kaum bukan Melayu. Beliau berkata, setakat ini hanya 625 wasiat berhubung pembahagian dan pengurusan harta yang dibuat oleh orang Melayu di ARB berbanding 3,536 wasiat golongan bukan Melayu.

Sementara itu, seminar itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Datuk Faisal Abdullah yang mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. Adnan, dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Faisal berharap, umat Islam khususnya di negeri ini lebih peka dengan soal wasiat dan harta pusaka khususnya dalam menjamin masa depan pewaris mereka terutama anak-anak. `Kesedaran terhadap pentingnya menulis wasiat, pengetahuan berkaitan faraid dan hibah perlu ditekankan kepada umat Islam supaya tidak berlaku sebarang pertelingkahan sesama ahli keluarga akibat merebut harta pusaka atau harta itu sendiri tidak dapat diagihkan dengan sepatutnya,” katanya.