Sekilas Pandang


Perpustakaan Universiti Darul Iman Malaysia bermula pada 2006, tahun Universiti ditubuhkan. Perpustakaan yang dahulunya dikenali sebagai Perpustakaan al-Mukhtar, Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin  (KUSZA) telah diserapkan ke dalam perkhidmatan UDM pada tahun 2007 secara rasminya.

Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin telah diperbadankan melalui Enakmen Kolej Ugama Sultan Zainal  Abidin (Enakmen Bil.3, 1981). Enakmen ini telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu pada 22 Ogos 1981 dan berkuatkuasa mulai 1980. Sejarah KUSZA bermula pada tahun 1980 dengan pengambilan pelajar pertamanya seramai 40 orang. Pelajar=pelajar ini ditempatkan di Sekolah Menengah Agama (ATAS) Sultan Zainal Abidin di Batu Buruk, Kuala Terengganu. Mulai 1981 hingga akhir 1983 KUSZA menyewa bangunan Hajjah Wok di Jalan Hiliran (Pulau Kambing). Perletakan batu asas kampus tetap KUSZA di Gong Badak telah dengan rasminya disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al Sultan, Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah pada 17 Mac 1981. Bermula Januari 1983, KUSZA melakar sejarah sebagai sebuah institusi pengajian tinggi di Kampus tetapnya di Gong Badak, Kuala Terengganu.

Perkara 4 (e) Enakmen Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin memberi kuasa kepada Kolej ”Untuk mendirikan, melengkapkan dan menyenggara perpustakaan … ”. Dengan peruntukan ini perpustakaan dibangunkan bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran. Pustakawan pertama Kolej memulakan tugas beliau pada bulan Oktober 1982. Bangunan perpustakaan yang ada siap dibina pada pertengahan 1987.

Pada tahun 1995, sistem Perpustakaan VTLS (Virginia Tech Library System) mula digunakan. Sistem ini menggantikan sistem kad bagi katalog perpustakaan. Ia juga memudahkan pengguna mencari dan mengesan bahan-bahan. VTLS telah digantikan dengan sistem ILMU (Integrated Library Management Utility) pada tahun 2001.

Universiti Darul Iman Malaysia telah diperbadankan mengikut peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Perlembagaan Universiti Darul Iman Malaysia 2006, perkara 6 (j), memberi kuasa kepada Universiti ”untuk mendirikan, melengkapkan dan menyenggara perpustakaan …”. Perkara 13 (1) Perlembagaan Universiti juga memperuntukkan perlantikan seorang Ketua Pustakawan. Oleh yang demikian, perpustakaan merupakan entiti penting sesebuah institusi pengajian dalam pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan serta keperluan maklumat amnya.

Kini, perkhidmatan perpustakaan disediakan di kedua-dua kampus, di Kampus KUSZA dan Kampus Kota. Pepustakaan Kampus Kota mula beroperasi pada Julai 2007 di bangunan sementara dan berpindah ke bangunan kekal pada Oktober 2008.

Perkhidmatan perpustakaan kini dikendalikan oleh seramai 56 orang kakitangan terdiri daripada 13 orang profesional serta 43 orang kakitangan sokongan pelabagi peringkat.